SEREMBAN: Krisis melibatkan institusi adat dan kemelut politik memabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun semakin memuncak apabila kerajaaan negeri hari ini dikatakan telah mengarahkan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong dikosongkan.
Berdasarkan surat dipercayai dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, pengosongan kediaman yang sebelum ini didiami oleh Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak itu diarah dilakukan serta merta.
Surat yang tersebar itu antara lain menyatakan keputusan itu dibuat selaras dengan keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bertarikh 17 April lalu.
“Sehubungan itu, pihak tuan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan bangunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta merta.
“Semua aset-aset kerajaan negeri yang didaftar di premis Balai Undang Luak Sungei Ujong hendaklah berada dalam keadaan baik bagi tujuan pemeriksaan semula kelak,” tulis kenyataan itu.
Surat itu terdahulu dipercayai ditandatangani Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin selain sumber terdekat dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengesahkan kesahihan surat berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim ketika dihubungi Astro AWANI enggan mengulas mahupun memberi sebarang pengesahan berhubung perkara berkenaan.
“Saya tidak boleh komen apa-apa,”katanya ringkas.
Menurut sumber, kakitangan kerajaan negeri yang sebelum ini ditempatkan bertugas di Balai Undang Luak Sungei Ujong telah pun diarah meninggalkan premis berkenaan dan bertukar penempatan.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di Balai Undang Luak Sungei Ujong bagaimanapun mendapati tiada polis melakukan kawalan di kawasan sekitar.
Krisis adat di Negeri Sembilan sebelum ini menjadi hangat berikutan tindakan Undang Yang Empat mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta.
Turut diumumkan pemilihan dan pelantikan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar, sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, kemudian dilapor berkata tindakan Mubarak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf kerajaan negeri.
Ini kerana, Aminuddin berkata, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).