KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan cadangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya UMNO kembali kepada perjuangan Islam hanya boleh dipertimbangkan sekiranya pemimpin Pas membuang sifat khianat dalam kerjasama politik.
Presiden UMNO itu berkata, syarat tersebut penting sebelum sebarang pertimbangan semula terhadap hubungan atau pendekatan politik antara kedua-dua parti dapat dilakukan.
“Dulu saya yang memulakan (Muafakat Nasional), tapi DNA mereka adalah khianat.
“Kalau mereka (pemimpin Pas) hilangkan rasa khianat dalam hati mungkin kita boleh pertimbangkan, tapi kalau khianat masih terus ada, elok kita lupakan,” katanya ditemui pemberita selepas Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026–2030 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada Khamis.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas cadangan Abdul Hadi yang menggesa UMNO bermuhasabah dan kembali ke “pangkal jalan” selepas didakwa tersasar dalam pilihan politik menerusi kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Abdul Hadi mendakwa UMNO semakin lemah kerana meninggalkan asas perjuangan Islam dan Melayu selepas bekerjasama dengan PKR dan DAP.
Dalam tulisan Minda Presiden bertajuk “UMNO: Rumah yang dicabut paku lantai”, beliau turut menyatakan bahawa tindakan UMNO itu menyebabkan pegangan parti terhadap dasar Islam dan Melayu semakin longgar.
Untuk rekod, Muafakat Nasional ditubuhkan pada September 2019 sebagai kerjasama politik antara UMNO dan Pas selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan matlamat menyatukan sokongan Melayu dan Islam.
Bagaimanapun, hubungan tersebut mula berdepan ketegangan susulan perbezaan pendirian mengenai pembahagian kerusi, hala tuju politik serta kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Ketegangan memuncak apabila Pas memilih untuk kekal bersama PN menjelang PRU15, manakala UMNO mengambil keputusan bergerak secara solo di bawah Barisan Nasional (BN).