PUTRAJAYA: Perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam perlu diperkukuh bagi menghadapi pelbagai cabaran sosial yang menjadi keresahan masyarakat kebelakangan ini, kata Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata sejarah membuktikan kekuatan orang Melayu suatu ketika dahulu, bukan kerana hebat dalam perniagaan atau pendidikan tetapi kerana bersatu padu menyokong apa jua agenda kerajaan tanpa bertelingkah soal kecil.
"Kita bersama-sama dalam apa jua agenda yang ditengahkan pihak kerajaan, kita tidak berbalah, tidak bertengkar dan bertelingkah disebabkan isu-isu kecil seperti yang kita lihat pada hari ini.
"Mereka yang tidak selesa dengan kita akan mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku, jadi kita kena mempertahankan (semangat bersatu), kalau inilah tanah air kita, kalau kitalah tuan tanah, maka kena kembali kepada formula yang pernah kita laksanakan dengan begitu berkesan semenjak merdeka 1957 (iaitu bersatu)," katanya ketika ditemui Bernama.
Mohammad Shatar berkata kedudukan masyarakat Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957 terus terpelihara hasil perpaduan kukuh dan sokongan terhadap kepimpinan negara.
"Duduknya kita pada hari ini di sini adalah hasil daripada perpaduan dan sokongan masyarakat dan kerajaan ketika itu dan kita kena ingat itulah formula Malaysia yang sangat dicemburui oleh negara lain.
"Kita sebagai bangsa Melayu beragama Islam kena ingat dan kena pegang, jangan sekali-kali berpecah disebabkan perbezaan terlalu kecil," katanya.
Beliau berkata perpecahan yang berlaku ketika ini membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mempersoalkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan agama Islam, hak orang Melayu dan institusi Raja-Raja.
Menurut beliau, situasi semasa juga jauh berbeza berbanding 20 hingga 30 tahun dahulu apabila semakin banyak isu sensitif dibangkitkan sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.
"Kalau kita lihat pada hari ini, banyak perkara yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak seolah-olah mereka tidak faham tentang kontrak sosial, perundangan dan peraturan dalam negara, termasuk Perlembagaan dan mereka sering kali membangkitkan isu yang mencetuskan kebimbangan kepada majoriti masyarakat dalam negara kita terutamanya orang Melayu dan beragama Islam,” katanya.
Beliau turut menegaskan perpaduan tidak bermaksud menafikan hak kaum lain, sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang menjamin keseimbangan dan keharmonian antara semua kaum di negara ini.
Dalam pada itu, beliau berkata antara isu sosial yang membelenggu masyarakat kini termasuk peningkatan jenayah, gejala sosial serta persepsi ketidakadilan dalam pelaksanaan undang-undang.
“Persepsi ini, sama ada benar atau tidak, perlu ditangani dengan serius kerana ia memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap institusi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa usaha memperkasakan masyarakat tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada kerajaan, sebaliknya memerlukan kesedaran dan tindakan proaktif daripada masyarakat sendiri.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan. Masyarakat perlu memainkan peranan, termasuk memanfaatkan peluang yang diberikan dan mengelakkan sikap terlalu bergantung kepada bantuan,” katanya.
Mengenai Musyawarah Nasional yang akan diadakan Ahad ini di Kuala Lumpur, Mohammad Shatar berkata konvensyen itu akan menjadi platform untuk membincangkan isu-isu yang menjadi keresahan bangsa Melayu dan jalan penyelesaian yang perlu diambil.
Beliau berkata antara fokus utama adalah memperkukuh perpaduan, meningkatkan kesedaran sosial serta menggalakkan tindakan berasaskan realiti semasa, khususnya dalam kalangan generasi muda.
"Musyawarah Nasional yang dicetuskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk memastikan bahawa kita memberikan satu desakan, satu perspektif terhadap apa yang berlaku pada hari ini dan tindakan perlu dilaksanakan," katanya.
Musyawarah Nasional diumumkan Ahmad Zahid dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2025, ditubuhkan sebagai ruang muafakat strategik bagi menghimpunkan tokoh masyarakat, ilmuwan, profesional, pemain industri dan wakil masyarakat sivil untuk meneliti isu teras yang membentuk hala tuju bangsa dan negara.
-- BERNAMA