LONDON: Dua rakyat Britain disahkan dijangkiti hantavirus manakala seorang lagi disyaki dijangkiti virus itu di pulau Tristan da Cunha di Atlantik Selatan, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK) pada Jumaat, lapor Xinhua.
Tiada rakyat Britain di atas kapal persiaran MV Hondius dilaporkan mengalami gejala ketika ini, namun mereka sedang dipantau rapi, menurut agensi itu sambil menjelaskan bahawa semua penumpang dan kru warga Britain di atas kapal berkenaan akan diminta menjalani pengasingan selama 45 hari sebaik pulang ke Britain.
Kakitangan kerajaan Britain akan berada di lokasi bagi membantu rakyat Britain yang turun dari kapal apabila ia berlabuh di Tenerife, Sepanyol pada Ahad.
Agensi itu juga memaklumkan terdapat tujuh rakyat Britain turun dari kapal di St Helena, sebuah pulau di Atlantik Selatan, pada 24 April lalu.
Dua daripada mereka kembali ke Britain dan sedang menjalani pengasingan di rumah serta tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan.
Empat lagi masih berada di St Helena manakala seorang lagi dikesan berada di luar Britain.
Pada Khamis, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, lima daripada lapan kes yang dilaporkan di atas kapal persiaran MV Hondius disahkan sebagai jangkitan hantavirus, manakala tiga lagi dikategorikan sebagai kes disyaki.
WHO menafikan yang penularan hantavirus maut di atas kapal persiaran itu adalah “permulaan pandemik COVID,” sebaliknya menegaskan yang risiko jangkitan kepada orang awam masih rendah.
-- BERNAMA-XINHUA