Skip to main content

Politik

Isu penternakan babi: Amanah Selangor beri amaran tindakan saman ke atas Ronnie Liu

Abbas Azmi (Kredit: Dewan Negeri Selangor) dan Ronnie Liu (Kredit: BERNAMA)
Abbas (kiri) menegaskan tuduhan yang dibuat oleh Ronnie (kanan) selaku bekas exco negeri terhadap Izham adalah tidak berasas dan melampau. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menggesa Ronnie Liu untuk menarik balik kenyataan berkaitan Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim berkaitan isu penternakan babi.

Pengarah Komunikasi Amanah negeri, Abbas Azmi menegaskan tuduhan yang dibuat oleh Ronnie selaku bekas exco negeri terhadap Izham adalah tidak berasas dan melampau.

“Amanah Selangor meminta Ronnie menarik balik tuduhan yang telah dibuat dan berhati-hati ketika membuat apa-apa kenyataan agar tidak menyinggung mana-mana pihak apatah lagi menyentuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook miliknya hari ini.

Abbad turut menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu.

“Tindakan undang-undang (akan diambil) jika kenyataan yang dibuat tidak ditarik balik dan tiada permohonan maaf di atas tuduhan yang dilihat melampau ini,” katanya.

Abbas berpandangan, Ronnie seharusnya memahami isu ini mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Jelasnya, baginda turut bertitah agar segala aktiviti berkaitan dengan penternakan babi di Negeri Selangor dihentikan.

“Antara faktor isu ini mendapat perhatian serius dari Sultan Selangor adalah berkaitan pencemaran dan melibatkan maslahat umum.

“Begitu juga penyebaran Virus yang terbaharu African Swine Fever (ASF) yang berleluasa, maka Titah Tuanku Sultan berkenaan isu ini amatlah bertepatan dengan masa dan keadaan pada hari ini,” katanya lagi.

Pada 28 Mei, Ronnie mendakwa Izham telah individu yang mencetuskan kontroversi penternakan babi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri.

Bekas ADUN DAP itu turut mendakwa cadangan untuk memindahkan penternakan babi ke Bukit Tagar juga daripada Izham.

 

 

Must Watch Video

Advertisement