KUALA LUMPUR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengekalkan jawatan walaupun dipecat oleh Lembaga Disiplin Parti.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani akan terus menjalankan tugas sebagai Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri.
Dalam pada itu, ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis kekal sebagai Timbalan Speaker DUN.
“Kedudukan dua ADUN tersebut kekal sampai sekarang. Tidak ada keperluan lagi untuk tukar, teruskan kerja macam biasa. Yang dipecat semua okey, kerja pun baik,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan oleh Urus Setia Penerangan Darul Aman.
Sanusi berkata demikian semasa acara menyerahkan sumbangan lembu sempena Hari Raya Aidiladha di Seri Mentaloon, Alor Setar, pada Isnin.
Terdahulu, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan berkata, pemecatan kedua-dua ADUN itu dibuat mengikut Fasal 22.5 dan berkuat kuasa serta-merta pada tarikh notis dikeluarkan pada 8 Mei.
Tindakan itu diambil susulan dakwaan pelanggaran terhadap Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika Bersatu yang didakwa dilakukan oleh mereka.
Susulan tindakan tersebut, Abdul Razak ketika dihubungi Astro AWANI pada 9 Mei lalu menegaskan status selaku ADUN kekal dan beliau bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Pada masa sama, Sanusi turut menafikan dakwaan kononnya berdepan tekanan susulan tindakan disiplin dikenakan terhadap kedua-dua Adun itu.
“Tak ada tekanan apa-apa. Saya baik dengan semua orang, tak ada masalah apa-apa. Sebagai Menteri Besar, saya mahu pastikan keadaan negeri stabil, aman dan kerja berjalan lancar.
“Alhamdulillah, pentadbiran negeri berjalan dengan baik dan ezeki pun melimpah-ruah,” tambahnya.