KUALA LUMPUR: Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengarahkan seluruh jentera parti bersiap siaga menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor susulan perkembangan politik semasa.
Menurut Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook, keputusan untuk menggerakkan kesiapsiagaan jentera parti dibuat selepas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan gagal, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya PRN mengejut di beberapa negeri
Katanya, arahan tersebut diputuskan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu yang berlangsung di ibu pejabat DAP di ibu negara, pada Isnin.
"Langkah itu diambil sebagai persediaan awal sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri berkenaan dibubarkan dalam masa terdekat.
"Dalam masa sama, DAP menegaskan sokongan penuh kepada Datuk Seri Aminuddin Harun untuk terus menerajui pentadbiran Negeri Sembilan, sekali gus menolak sebarang cadangan pertukaran Menteri Besar ketika ini.
"DAP turut menjunjung kasih kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir atas titah baginda supaya kerajaan negeri terus berfungsi seperti biasa di bawah pentadbiran sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Loke berkata, parti berkenaan menegaskan komitmennya untuk terus menghormati institusi Raja Berperlembagaan serta memastikan sebarang isu berkaitan ditangani mengikut lunas Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri.