Skip to main content

Malaysia

Masalah teknikal: Jemaah haji KT051 akan berlepas ke Jeddah awal pagi Rabu

51679664177_BPAEROPLANEjpg.jpg
Sebanyak 278 jemaah haji Malaysia bagi penerbangan KT051 yang mendarat di Muscat, Oman, susulan isu teknikal pesawat dijadual meneruskan perjalanan ke Jeddah awal pagi Rabu dengan menaiki pesawat alternatif. - Gambar hiasan

MAKKAH: Sebanyak 278 jemaah haji Malaysia bagi penerbangan KT051 yang mendarat di Muscat, Oman, susulan isu teknikal pesawat dijadual meneruskan perjalanan ke Jeddah awal pagi Rabu dengan menaiki pesawat alternatif.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, penerbangan  yang disediakan AMAL by Malaysia Airlines itu dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Muscat pada 6 Mei, 3 pagi (waktu Oman).

Penerbangan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada 5.10 pagi waktu Arab Saudi, hari yang sama.

Menurut TH, semua jemaah yang terlibat telah diberikan makanan dan minuman sebelum dibawa ke hotel penginapan untuk berehat sementara menunggu waktu pelepasan.

“Petugas daripada pihak AMAL by Malaysia Airlines juga telah ditugaskan untuk berada di lapangan terbang berkenaan dengan kadar segera bagi memantau keadaan semasa serta memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Pesawat MH8110 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Jeddah terpaksa melakukan pendaratan di Muscat pada 4.11 petang semalam waktu tempatan susulan isu teknikal.

TH sebelum ini memaklumkan pendaratan itu dibuat sebagai langkah keselamatan standard, dan semua jemaah berada dalam keadaan baik serta tidak terjejas.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video