Skip to main content

Malaysia

Ibu tunggal maut selepas tergelincir ketika aktiviti pendakian di Gua Musang

Tergelincir lemas_IPD Gua Musang
Mangsa yang berusia 50-an dan berasal dari Kuala Lumpur itu ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai telah meninggal dunia. - Gambar ihsan IPD Gua Musang

KOTA BHARU: Seorang pendaki wanita yang juga ibu tunggal ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Betis ketika melakukan aktiviti mendaki di Pos Balar, Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, mangsa bersama sekumpulan 11 pendaki memulakan aktiviti pendakian pada 1 Mei lepas.  

Beliau berkata, ekspedisi pendakian berkenaan melibatkan kawasan Gunung Gerah, Gunung Bilah, dan Gunung Biyed.

"Kejadian dilaporkan berlaku pada 2 Mei, kira-kira 7.30 malam. Semasa melalui kawasan Sungai Betis dalam keadaan gelap, mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sik menjelaskan, ahli kumpulan pendaki berkenaan telah menjalankan usaha pencarian mangsa dengan segera, namun mangsa gagal ditemukan pada malam kejadian.

"Pada 3 Mei kira-kira 8 pagi, mangsa yang berusia 50-an dan berasal dari Kuala Lumpur itu ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai telah meninggal dunia. 

"Pihak polis telah menerima maklumat rasmi berhubung insiden kehilangan itu pada hari yang sama iaitu pada 3.21 petang."

Susulan kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang telah menyelaras Operasi Mencari dan Menyelamat yang turut melibatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengeluarkan mangsa.

Beliau berkata, pasukan penyelamat terpaksa mengharungi perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira empat jam, disusuli dengan berjalan kaki hampir 10 jam untuk sampai ke lokasi insiden.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Sik menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, membuat perancangan yang rapi serta menggunakan khidmat pemandu arah yang berpengalaman ketika melakukan aktiviti pendakian. 

-- BERNAMA

Must Watch Video