KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai satu “fitnah jahat” yang sedang disebarkan ketika ini.
Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin, berkata perkara itu tidak berasas dan dipercayai dimainkan oleh pihak tertentu.
Menerusi satu hantaran di media sosial pada Khamis, beliau berkata penyebaran dakwaan itu dengan usaha mengganggu tumpuan umat Islam yang kini menyambut Aidiladha.
“Fitnah jahat sedang tersebar kononnya Bersatu akan kembali bersama PH. Sedang kita sibuk dengan ibadah korban, mereka sibuk dengan fitnah,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mendakwa mengetahui pihak yang menyebarkan dakwaan berkenaan.
“Saya tahu siapa pemfitnah ini walaupun mereka bertopeng,” tambah beliau.
Kenyataan bekas Menteri Kanan Pendidikan itu muncul ketika spekulasi mengenai jajaran politik terus berlegar dalam landskap politik negara, khususnya melibatkan hubungan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan.
Sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), isu kemungkinan kerjasama silang antara parti-parti besar sering timbul, terutamanya apabila berlaku ketidaktentuan sokongan atau perbincangan tidak rasmi dalam kalangan pemimpin politik.
Bersatu yang kini bersama PN sebelum ini pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan PH selepas PRU14 pada 2018, sebelum keluar daripada gabungan tersebut susulan krisis politik pada Februari 2020 yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton”.
Sejak itu, hubungan antara Bersatu dan PH kekal tegang, sekali gus menjadikan sebarang dakwaan kerjasama semula sebagai isu sensitif dalam kalangan penyokong dan pimpinan parti.