Skip to main content

Malaysia

Ops Khas Hari Raya Aidiladha: JPJ Pahang keluar 1,348 notis, lima kenderaan disita

Ops Khas Hari Raya Aidiladha: JPJ Pahang Keluar 1,348 Notis, Lima Kenderaan Disita -- kredit JPJ Pahang
Sejak 1 Januari tahun ini hingga semalam JPJ Pahang telah memeriksa sebanyak 37,291 kenderaan perdagangan menerusi pelbagai operasi khas dengan 5,183 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. - Gambar JPJ Pahang

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang telah mengeluarkan sebanyak 1,348 notis dan menyita lima kenderaan dalam tempoh empat hari pelaksanaan Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 yang bermula 24 Mei  hingga 31 Mei ini.

Pengarah JPJ Pahang Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, notis itu dikeluarkan terhadap 359 kenderaan yang kebanyakannya atas kesalahan tiada perlindungan insurans dan permit.

“Sepanjang empat hari pertama operasi, sebanyak 3,308 kenderaan diperiksa dengan 359 kenderaan daripadanya telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Pelaksanaan Ops HRAA 2026 ini juga memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan pemantauan bas ekspres di  Terminal Sentral Kuantan, Terminal Bas Temerloh, Terminal Bas Genting Highlands dan sembilan terminal di daerah lain,” katanya pada sidang media  di Ibu Pejabat JPJ Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata pemantauan turut dilakukan di 36 kawasan sering berlaku kemalangan dan 25 kawasan panas di seluruh Negeri Pahang bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan kelancaran aliran trafik.

Sementara itu, sejak 1 Januari tahun ini hingga semalam JPJ negeri telah memeriksa sebanyak 37,291 kenderaan perdagangan menerusi pelbagai operasi khas dengan 5,183 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Syed Ahmad Khirulanwar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 721 saman lebih muatan dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan  (APJ) 1987 selain 35 kenderaan turut disita termasuk 12 daripadanya di bawah Seksyen 80 Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Daripada jumlah itu 1,825 notis dikeluarkan berkaitan kesalahan muatan, majoritinya melibatkan kesalahan muatan berbahaya atau tidak menutup muatan iaitu sebanyak 1,091 notis.

“Selain itu, sebanyak 717 notis dikeluarkan bagi kesalahan lebih muatan di bawah APJ, manakala 11 lagi melibatkan kesalahan lebih muatan melebihi 50 peratus di bawah Seksyen 80 yang membawa kepada tindakan sitaan,” katanya.

Dalam tempoh yang sama, beliau berkata sebanyak 42 kenderaan mewah pelbagai jenis telah disita menerusi Ops Luxury, kebanyakannya melibatkan kesalahan lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement