SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa sekarang bukan masanya untuk perebutan kuasa, sebaliknya pemimpin perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat dalam keadaan ketidaktentuan global ketika ini.
Beliau berkata, sebarang persaingan bagi menentukan kuasa wajar disalurkan melalui medan pilihan raya apabila tiba masanya.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut politik yang sebelum ini berlaku di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, situasi itu turut menguji kepimpinan negeri berkenaan, namun memuji Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun atas kecekalan serta semangat yang ditunjukkan dalam mendepani cabaran politik berterusan.
“Saya salute (tabik) Menteri Besar Aminuddin Harun atas kecekalan dan semangat beliau mengharungi kemelut politik yang tidak berkesudahan.
“Negara kita berdepan pelbagai masalah, maka fokus harus diberikan kepada kebajikan dan keperluan rakyat, bukan kepada perebutan kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Belia Negara 2026, di sini pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat perlu menjadi keutamaan pada masa ini, sambil menambah bahawa sistem demokrasi sedia ada telah menyediakan ruang sewajarnya bagi menentukan kepimpinan melalui pilihan raya.
“Pilihan rakyat itu ada gelanggangnya, iaitu pilihan raya. Tetapi sekarang adalah masa untuk bangkit dan memberi perhatian sepenuhnya kepada rakyat,” katanya.