KUALA LUMPUR: MIC menggesa kepimpinan Barisan Nasional (BN) supaya segera melantik penyelaras pilihan raya bagi 115 kerusi Parlimen serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi sebagai langkah awal memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Malaysia (PRU) akan datang.
Pengarah Strategi Nasional MIC, Datuk Sivaraj Chandran berkata, langkah itu penting bagi menunjukkan kesungguhan dan komitmen BN untuk kembali menjadi gabungan dominan yang berhasrat menerajui kepimpinan negara selepas PRU nanti.
Menurut beliau, MIC mengalu-alukan pendirian BN yang menyatakan hasrat untuk bertanding 115 kerusi Parlimen pada PRU akan datang seperti diputuskan dalam pemukiman BN yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
"Sehubungan itu, saya menyeru kepimpinan BN supaya memulakan tahap kesiapsiagaan menghadapi PRU dengan menamakan penyelaras pilihan raya bagi 115 kerusi Parlimen serta kerusi-kerusi DUN yang akan ditandingi dengan segera.
"Langkah ini akan menunjukkan komitmen dan kesungguhan BN untuk bertanding dan memenangi 115 kerusi Parlimen pada PRU akan datang," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Sivaraj berkata, pelantikan penyelaras Parlimen dan DUN juga penting bagi memulakan kerja-kerja persiapan pilihan raya lebih awal selain membolehkan jentera parti bergerak secara strategik di setiap kawasan.
Beliau berkata, pemukiman BN yang dihadiri pimpinan gabungan serta Friends of BN merupakan mesyuarat penting bagi memperkukuh kerjasama dan merangka keputusan progresif demi masa depan gabungan itu.
Menurutnya, susulan pemukiman tersebut, kepimpinan BN mencapai kesepakatan untuk terus memperkukuh gabungan berkenaan serta bersedia bertanding 115 kerusi Parlimen dan lebih banyak kerusi DUN dalam pilihan raya akan datang.
“Dalam politik, time is of the essence (masa amat penting). Oleh itu, kepimpinan BN perlu segera melantik penyelaras Parlimen dan DUN bagi memulakan kerja-kerja persiapan pilihan raya dari sekarang.
"Saya percaya langkah ini akan memberi keyakinan kepada semua parti komponen dan Friends of BN bahawa BN benar-benar komited dengan keputusan untuk bertanding 115 kerusi Parlimen serta lebih banyak kerusi DUN," katanya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam sesi pemukiman tertutup parti berkenaan baru-baru ini menzahirkan hasrat BN untuk bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memastikan gabungan itu kembali menerajui kerajaan pusat.