KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) melantik Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu, menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pelantikan Ahli Parlimen Kemaman itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN kali ke-2 tahun 2026 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, pada Sabtu.
Jawatan Ketua Pembangkang itu kosong kira-kira tiga bulan selepas Ahli Parlimen Larut dipecat oleh Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Februari lalu kerana melanggar Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Samsuri itu dihadiri semua ahli Majlis Tertinggi daripada parti komponen gabungan.
“Mesyuarat bersetuju melantik Ahmad Samsuri untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata mesyuarat turut bersetuju secara prinsip menerima kerjasama pilihan raya bersama parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama.
Selain itu, PN turut mengumumkan pelantikan Pengerusi bagi setiap negeri termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah), Datuk Dominic Lau Hoe Chai (Pulau Pinang), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Selangor).
Bagi Negeri Sembilan, pelantikan Pengerusi negeri ditangguhkan, manakala Datuk Mohd Radzi Md Jidin dilantik menerajui Melaka dan Wilayah Persekutuan.
Takiyuddin berkata PN akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan.
Sebelum ini, pada 12 April lalu, Ahmad Samsuri mengesahkan Hamzah sudah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.