COLOMBO: Sekurang-kurangnya 12 penumpang cedera selepas sebuah kereta api tergelincir sehingga menyebabkan satu gerabak terbalik di wilayah barat Sri Lanka, pagi tadi.
Penolong Komisioner Polis, F.U. Wootler berkata insiden berlaku ketika kereta api dari Polgahawela menuju ke Kalutara South itu melalui landasan di antara stesen Kelaniya dan Wanawasala.
Kesemua mangsa dihantar ke beberapa hospital berhampiran untuk rawatan kecemasan, manakala seorang mangsa parah dipindahkan ke Hospital Nasional Colombo.
Susulan nahas, polis cawangan Peliyagoda menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki melakukan sabotaj terhadap landasan dengan mencuri serta menanggalkan komponen trek di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah yang dipercayai mencuri komponen landasan tersebut sebelum menjualnya.
Pihak polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Insiden itu turut mengakibatkan gangguan perkhidmatan kereta api di laluan utama negara tersebut.