Skip to main content

Malaysia

Zara Qairina gembira jalani kehidupan bersama ibunya - Bapa saudara

51754980207_TBZARA.jpg
Bapa saudara Zara Qairina menyifatkan anak saudaranya itu sangat gembira menjalani kehidupan bersama ibunya, Noraidah Lamat. - Gambar fail

KOTA KINABALU: Saksi ke-72 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir menyifatkan anak saudaranya itu sangat gembira menjalani kehidupan bersama ibunya, Noraidah Lamat.

Abu Bakar, 47, yang juga abang sulung kepada Noraidah berkata, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang mengenali Zara Qairina, mangsa merupakan seorang anak yang peramah, manja, suka berkongsi cerita dengan ibunya, menghormati keluarga dan sangat menyayangi ibunya.

“Pada pandangan saya, Zara amat mencintai ibunya dan sentiasa mengambil berat tentang ibunya walaupun berjauhan sejak tinggal di asrama.

“Saya juga mendapati Zara sering menghubungi ibunya pada waktu malam untuk bertanya khabar dan melepaskan rasa rindu.

“Pada pemerhatian saya, Zara sangat gembira menjalani kehidupan bersama ibunya dan tidak pernah mempunyai masalah serius dengan ibunya,” katanya semasa membacakan kenyataan bertulisnya di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu.

Beliau turut berkata, Noraidah berada dalam keadaan trauma, sangat sedih dan tidak dapat menerima kehilangan Zara Qairina yang berlaku secara mengejut.

“Berdasarkan keseluruhan kejadian, saya berharap siasatan yang telus, adil dan menyeluruh dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Kami sekeluarga amat terkesan dengan kehilangan ini dan berharap segala fakta dapat didedahkan sepenuhnya demi keadilan kepada arwah serta bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement