Skip to main content

Malaysia

Abang, empat rakan didakwa bunuh adik

IPOH, 20 Mei -- Seorang lelaki bersama-sama empat rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh adik kandung lelaki itu di kawasan Tanjung Rambutan, minggu lepas.  S.K Siri Sakti Vell, 22, dan rakannya K Thirucelvan, 33, Shashipal Singh Manmuhan Singh, 36, N Thaneshwaran, 24, dan P Ukenthiran, 35, bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh membunuh S.K Kerisnan, 18.  Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan berhampiran Kuil Sri Subramaniar, Jalan Perpaduan S
Seorang lelaki bersama-sama empat rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh adik kandung lelaki itu di kawasan Tanjung Rambutan, minggu lepas. - Foto Bernama

IPOH: Seorang lelaki bersama empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas pertuduhan membunuh adik lelaki kandungnya di kawasan Tanjung Rambutan, minggu lalu.

Tertuduh, SK Siri Sakti Vell, 22, bersama K Thiruchelvan, 33; Shashipal Singh Manmuhan Singh, 36; N Thaneshwaran, 24; dan P Ukenthiran, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas membunuh SK Kerisnan, 18, di kawasan berhampiran Kuil Sri Subramaniar, Jalan Perpaduan Southward, Tanjung Rambutan dalam daerah Kinta antara jam 1 hingga 4 pagi pada 12 Mei 2026.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati, hendaklah dikenakan 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen laporan perubatan dan bedah siasat pada 20 Julai depan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta jenis Honda Accord sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan hentakan kuat di kepala.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai dipukul secara beramai-ramai menggunakan tangan, kaki serta objek tumpul di kawasan kuil di Tanjung Rambutan sebelum ditemui di dalam kenderaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan kegiatan mencuri kabel.

Dalam kes itu beliau berkata, enam lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 36 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi suspek masih diburu.

"Lima daripada mereka telah dibawa untuk pertuduhan, manakala seorang lagi yang ditahan dijadikan saksi pendakwaan selepas didapati tidak terlibat secara langsung dalam kejadian,” katanya. -- Sinar Harian
 

Must Watch Video

Advertisement