Skip to main content

Malaysia

Air mata bapa Zayn Rayyan gugur, anak kedua kembali ke pangkuan tanpa syarat

SINAR HARIAN
Zaim Ikhwan (kanan) ditenangkan peguamnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM: Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin gagal menahan air mata tanda kesyukuran apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membenarkan anak keduanya diserahkan semula ke pangkuannya tanpa sebarang syarat dan bon.

Zaim Ikhwan Zahari, 31, dilihat menangis selepas Hakim Suriyati Hasimah Mohd Hashim membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sebahagian daripada 14 syarat serta bon yang ditetapkan Mahkamah Majistret di sini pada 21 November tahun lalu.

Semasa membacakan keputusan, Suriyati Hasimah berkata, bon sebanyak RM2,000 dan syarat tambahan yang dikenakan selama tiga tahun oleh mahkamah rendah diketepikan.

“Mahkamah memerintahkan hak penjagaan kanak-kanak lelaki yang kini berusia tujuh tahun diberikan kepada Zaim Ikhwan selaku perayu tanpa sebarang syarat,” katanya.

Dalam prosiding tersebut, peguam Lavanesh Haresh Mahadevan hadir bagi pihak Zaim Ikhwan sementara pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aida Mat Rifin.

Selepas 18 bulan adik kepada Zayn Rayyan dijaga nenek saudara dengan pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mahkamah Majistret di sini pada November tahun lalu membenarkan kanak-kanak itu dipulangkan kepada Zaim Ikhwan.

Bagaimanapun, Majistret Ameera Mastura Khamis ketika itu menetapkan 14 syarat yang perlu dipatuhi bapa kepada dua anak berkenaan seperti dicadangkan JKM.

Antara syarat tersebut ialah kanak-kanak terbabit tidak boleh ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa serta perlu dipastikan bebas daripada sebarang unsur penganiayaan atau pengabaian.

Zaim Ikhwan juga perlu memastikan kanak-kanak yang menghidap autisme itu menerima pendidikan dan terapi sewajarnya.

Mereka turut diarahkan tinggal di alamat yang dinyatakan dalam perintah mahkamah dan sebarang pertukaran tempat tinggal perlu dimaklumkan kepada pihak JKM.

Selain itu, kanak-kanak berkenaan tidak dibenarkan dijadikan kandungan di media sosial.

Sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pihak pelindung JKM boleh mengambil semula kanak-kanak itu untuk ditempatkan di institusi kebajikan.

Mahkamah turut memerintahkan Zaim Ikhwan menyempurnakan bon tersebut bagi tujuan pemeliharaan dan penjagaan selama tiga tahun mengikut perenggan 30(1)(a) dan Subseksyen 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tidak berpuas hati dengan syarat berkenaan, Zaim Ikhwan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi pada 2 Disember 2025 bagi membatalkan sebahagian syarat serta bon itu supaya anak istimewa tersebut dapat kembali sepenuhnya ke pangkuan keluarga.

Pada 6 Disember 2023, kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, di sini pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Susulan itu, pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, pada 21 Julai 2025, Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan tanpa perlu membela diri di akhir kes pendakwaan.

Sementara itu, pada 31 Oktober tahun sama, Hakim Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira ke Penjara Wanita Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah di akhir kes pembelaan kerana mengabaikan kanak-kanak malang itu. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement