Skip to main content

Malaysia

Zamri Vinoth, Arun Dorasamy akan didakwa esok

81743102111_ZamriVinoth.jpg
Zamri Vinoth akan dituduh berhubung perhimpunan yang dirancang di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara pada 7 Feb lepas manakala Arun berkaitan rumah ibadat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) Zamri Vinoth dan aktivis Arun Dorasamy masing-masing akan didakwa esok di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang.

Zamri Vinoth akan dituduh berhubung perhimpunan yang dirancang di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara pada 7 Feb lepas manakala Arun berkaitan rumah ibadat.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadap Zamri Vinoth akan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan pada 9 pagi.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Zamri Vinoth ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, siasatan terhadap penceramah bebas itu berhubung kenyataannya pada perhimpunan itu pada 7 Feb lepas telah dirujuk kepada Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC). 

AGC kemudian mengeluarkan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Pada 13 Mac lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan Zamri Vinoth telah melarikan diri ke Thailand.

Beliau berkata usaha mengesan individu terbabit giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.

Sementara itu, Arun ketika dihubungi mengesahkan akan didakwa di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan.

Ia berikutan laporan yang dibuat di Batu Kawan, Pulau Pinang terhadapnya berhubung isu kuil di Rawang dan Dengkil di Selangor.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video