KUALA LUMPUR: Bekas wartawan hiburan, Nor Joha Ahmad, meninggal dunia pada usia 60 tahun akibat komplikasi kencing manis di Hospital Ampang, tengah hari tadi.
Allahyarham merupakan lulusan Universitas Indonesia dan memulakan kerjaya kewartawanan di Utusan Malaysia pada 3 Januari 1994 sebelum menamatkan perkhidmatan pada November 2018.
Sepanjang lebih dua dekad dalam dunia kewartawanan, Allahyarham banyak mencorakkan liputan hiburan tanah air melalui akhbar Utusan Malaysia serta majalah URTV, selain dikenali sebagai antara wartawan hiburan berpengaruh pada zamannya.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al-Ansar, Keramat untuk urusan pengurusan terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2 Keramat.
Antara yang hadir menziarahi serta memberikan penghormatan terakhir ialah pengacara terkenal Aznil Nawawi dan penyanyi Haiza.
Tidak ketinggalan, rakan-rakan seperjuangan Allahyarham dalam dunia kewartawanan hiburan turut hadir memberi penghormatan terakhir sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam industri media.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan dan hiburan tempatan.