TEHRAN: Skuad bola sepak kebangsaan Iran berlepas ke Turkiye pagi ini bagi mengharungi aksi persahabatan terakhir serta menyelesaikan proses permohonan visa Amerika Syarikat (AS) menjelang Piala Dunia FIFA 2026.
Agensi berita Tasnim melaporkan pasukan kendalian ketua jurulatih Amir Ghalenoei itu berlepas ke Antalya dengan 22 pemain daripada liga domestik bersama barisan kejurulatihan.
Ghalenoei sebelum ini mengesahkan selain aksi pemanas badan, agenda utama ke Turkiye adalah menghadiri temu duga dan melengkapkan dokumentasi visa ke AS berikutan ketiadaan kedutaan rasmi Washington di Tehran.
Isu visa itu mencetuskan ketegangan dalam arena sukan selepas pegawai Iran mencadangkan kepada FIFA agar semua perlawanan peringkat kumpulan pasukan itu dipindahkan ke Kanada atau Mexico.
Namun, badan induk bola sepak dunia itu menolak cadangan tersebut dan menegaskan kejohanan akan diteruskan mengikut jadual yang telah ditetapkan di AS.
Dalam perkembangan berkaitan, pegawai pentadbiran Washington memberi jaminan bahawa delegasi sukan Iran dialu-alukan bertanding dan proses visa akan diuruskan mengikut piawaian rasmi.
Kehadiran Iran ke AS dijangka menarik perhatian global memandangkan hubungan diplomatik kedua-dua negara kekal tegang, terutama susulan isu sekatan ekonomi dan maritim.