Skip to main content

Malaysia

Universiti Malaya mohon maaf isu adegan teater tidak sopan, tidak kompromi pihak langgar peraturan

Sumber: UM
Universiti Malaya memandang serius isu yang tular membabitkan adegan persembahan teater yang didakwa tidak sopan di media sosial baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) memandang serius isu yang tular membabitkan adegan persembahan teater yang didakwa tidak sopan di media sosial baru-baru ini.

Pentadbiran universiti itu mengambil maklum segala kebimbangan yang dibangkitkan orang ramai, selain menegaskan, keperluan agar setiap persembahan teater dijalankan secara beretika dan bebas daripada unsur negatif.

“Setiap persembahan perlu mengelakkan sebarang bentuk provokasi termasuk kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan serta moral,” menurut UM dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu menegaskan, hasil penelitian mendapati adegan yang dipersembahkan tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan sebelum ini, sekali gus mencetuskan pelanggaran terhadap garis panduan yang ditetapkan.

“Perkara ini jelas merupakan satu pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan,” jelas UM lagi

Susulan itu, UM memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat.

“Pihak universiti tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar garis panduan serta peraturan yang telah ditetapkan,” tambah kenyataan itu.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan adegan teater yang kurang sopan di hadapan khalayak ramai, dipercayai sebahagian daripada persembahan dalam pertandingan Karnival Teater (Karviter) anjuran UM.

Bagaimanapun, persembahan berkenaan telah diputuskan sebagai tidak layak, manakala tindakan susulan kini sedang dijalankan bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan insiden sama tidak berulang pada masa hadapan.

Must Watch Video