Skip to main content

Dunia

Pertemuan Israel-Lubnan akan diadakan esok - Trump

President Donald Trump
Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai lokasi pertemuan, tahap perwakilan atau agenda perbincangan. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa satu pertemuan bersejarah antara pemimpin Israel dan Lubnan akan diadakan dalam masa terdekat, dalam usaha meredakan ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata beliau sedang berusaha untuk meredakan ketegangan antara Israel dan Lubnan, sambil mengesahkan bahawa pertemuan tersebut dijadualkan berlangsung “esok”.

“Ia sudah lama sejak kedua-dua pemimpin bercakap, kira-kira 34 tahun. Ia akan berlaku esok,” kata Trump dalam kenyataan tersebut.

Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai lokasi pertemuan, tahap perwakilan atau agenda perbincangan, namun pengumuman itu mencetuskan perhatian antarabangsa memandangkan hubungan antara Israel dan Lubnan sekian lama berada dalam keadaan tegang.

Hubungan diplomatik rasmi antara kedua-dua negara hampir tidak wujud sejak beberapa dekad, dengan konflik rentas sempadan dan pertikaian keselamatan menjadi punca ketegangan berterusan.

Pengumuman Trump ini hadir ketika komuniti antarabangsa terus menggesa usaha diplomatik bagi mengurangkan risiko konflik berskala lebih besar di rantau Asia Barat.

Setakat ini, pihak Israel dan Lubnan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengesahkan pengumuman berkenaan.

Pemerhati melihat sebarang pertemuan langsung antara pemimpin kedua-dua negara sebagai perkembangan luar biasa, berpotensi membuka ruang kepada dialog atau langkah pembinaan keyakinan, walaupun cabaran besar masih kekal.
 

Must Watch Video