ISTANBUL: Markas Keselamatan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kehilangan sebuah dron pengawasan MQ-4C Triton pada 9 April, yang diklasifikasikan sebagai insiden Kelas A, iaitu kategori kemalangan melibatkan kerosakan besar atau kemusnahan pesawat, lapor Anadolu Ajansi.
Lokasi kejadian tidak didedahkan atas sebab keselamatan operasi, namun dron itu kali terakhir dikesan terbang di ruang udara antarabangsa menuju ke arah Iran.
Setakat ini, tiada bukti ia terhempas di wilayah Iran, menurut laporan.
Menurut penerbitan The War Zone, dron beraltitud tinggi itu yang dianggarkan bernilai kira-kira US$238 juta, sedang melaksanakan misi pengawasan maritim di Teluk Parsi berhampiran Selat Hormuz sebelum hilang secara tiba-tiba daripada laman penjejakan penerbangan dalam talian.
Dron buatan Northrop Grumman itu dilancarkan dari Pangkalan Udara Tentera Laut Sigonella di Itali dan berkeupayaan terbang lebih 24 jam pada altitud sehingga 50,000 kaki.
Tentera Laut AS belum mendedahkan punca kejadian atau butiran mengenai serpihan dron berkenaan.
Kehilangan itu berlaku ketika serangan AS-Israel ke atas Iran, yang menyaksikan AS berdepan beberapa insiden membabitkan pesawat, termasuk jet pejuang dan dron, sejak 28 Feb.
-- BERNAMA-ANADOLU