Skip to main content

Malaysia

Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong: Menteri Besar, Ketua Menteri zahir ucapan tahniah

KUALA LUMPUR, 1 Jun -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.  Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Ibrahim berkenan menerima Hormat Diraja pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Barisan Menteri Besar dan Ketua Menteri hari ini merafak sembah serta menzahirkan ucapan tahniah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menerusi platform media sosial masing-masing.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi hantaran di media sosial, mendoakan agar Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta seluruh kerabat diraja, sentiasa dikurniakan keafiatan serta dilimpahi rahmat Allah SWT.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mendoakan semoga negara Malaysia terus berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera di bawah naungan Seri Paduka Baginda, serta dikurniakan kemajuan yang berterusan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bagi pihak kerajaan negeri, mendoakan agar kepimpinan Seri Paduka Baginda terus membawa keberkatan yang berpanjangan dalam menerajui negara.

“Patik juga mendoakan semoga Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat diraja sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT serta dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan kesejahteraan yang berterusan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bagi pihak pentadbiran kerajaan dan rakyat negeri itu mendoakan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong sentiasa dikurniakan keafiatan, kesejahteraan dan berada dalam limpah rahmat serta perlindungan Allah SWT.

“Semoga Kebawah Duli Tuanku terus dikurniakan kebijaksanaan dan kekuatan untuk memayungi negara dengan penuh keadilan, hikmah dan kebijaksanaan demi kemakmuran Malaysia yang tercinta,” katanya.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh juga mendoakan agar Seri Paduka Baginda sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah, kekuatan, kesejahteraan serta keberkatan yang berpanjangan dalam menerajui pemerintahan negara dengan penuh kebijaksanaan, kewibawaan dan kedaulatan demi kemakmuran Malaysia.

Ab Rauf turut mendoakan semoga institusi Raja Berperlembagaan terus kekal utuh sebagai payung perpaduan, lambang kedaulatan negara dan tunjang kestabilan rakyat demi menjamin keamanan, keharmonian serta kemajuan negara yang berterusan.

Turut menzahirkan ucapan ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan kerajaan Negeri serta seluruh rakyat Pulau Pinang.

“Semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan keafiatan berpanjangan serta terus memayungi negara dengan penuh kebijaksanaan, kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement