KUALA LUMPUR: Tuntutan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu bergerak seiring dengan kebertanggungjawaban membangunkan negara maju dan harmoni, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata walaupun menuntut hak di bawah MA63 untuk dilaksanakan itu penting, namun pada masa sama ia tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab bersama untuk membangunkan negara secara keseluruhannya.
“Jadi dalam kita memperjuangkan hak, jangan sesekali kita lupa, kita ada tanggungjawab untuk bina negara ini, sebab akhirnya kita akan wariskan satu negara yang harmoni untuk generasi pelapis.
“Saya fikir ini juga antara agenda yang akan saya tekankan dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan dengan MA63,” katanya semasa temu bual khas bersama Bernama.
Mengulas pencapaian rundingan MA63 setakat ini, Mustapha berkata daripada 29 isu tuntutan, 13 perkara telah diselesaikan sepenuhnya, satu perkara diselesaikan secara interim, manakala 15 lagi masih dalam proses rundingan.
Menurut Mustapha, selari dengan usaha menyelesaikan isu tertunggak, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta beberapa tokoh penting bagi mendapatkan pandangan mereka.
“Kita juga mengadakan sesi libat urus bersama kakitangan Persekutuan di Sabah dan Sarawak yang jumlahnya melebihi 130,000 orang di setiap negeri.
“Sebagai pelaksana dasar, mereka perlu diberikan kefahaman jelas mengenai MA63, khususnya ketua-ketua jabatan yang boleh membantu melaksanakan agenda ini secara terancang,” katanya.
Mengulas isu pembangunan infrastruktur asas di Sabah yang sering dikaitkan dengan isu MA63, Mustapha berkata beliau akan terlibat dalam jawatankuasa khas bagi memantau projek sakit di Sabah dan Sarawak untuk memastikan pelaksanaannya dapat dipercepat.
Beliau berkata pihaknya telah mula meninjau beberapa projek sakit serta projek baharu bagi memastikan projek dirancang tidak menghadapi masalah akibat kekurangan pemantauan pada peringkat awal.
“Ada pihak melihat masalah jalan berlubang atau kekurangan infrastruktur berpunca daripada kegagalan melaksanakan MA63. Jika kita dapat menyelesaikan isu infrastruktur asas ini, saya fikir polemik tersebut dapat dikurangkan,” katanya.
Justeru, Mustapha berkata isu infrastruktur asas di Sabah dan Sarawak terutama melibatkan bekalan air, elektrik serta jalan raya perlu diberi perhatian dan pelaksanaannya mesti telus bagi membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan serius mengatasi masalah itu.
“Saya tidak mahu kita berjuang menuntut MA63, termasuk memperoleh 40 peratus hasil dan hak-hak lain kelak, tetapi akhirnya jalan raya masih berlubang dan sekolah masih daif.
“Ketika itu, jangan salahkan rakyat jika mereka mempersoalkan apa gunanya perjuangan MA63 sekiranya kita tidak mampu menyelesaikan masalah infrastruktur asas yang diperlukan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA