Skip to main content

Malaysia

Kes bunuh di Pontian dan Tebrau, polis tahan 13 individu

ISKANDAR PUTERI, 22 Mei -- Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, hari ini. - Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI: Polis menahan enam lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai ditetak di Pekan Nanas, Pontian, semalam.

Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata kesemua suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan bermula tengah malam tadi hingga awal pagi ini di beberapa lokasi berasingan di sekitar Johor Bahru.

"Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan butiran lanjut mengenai profil kesemua suspek akan dimaklumkan kemudian kerana tangkapan baru dilaksanakan hari ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Semalam, mangsa ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan pada bahagian tangan serta kaki di hadapan sebuah kedai makan dan minuman di Pekan Nanas.

Dalam perkembangan berasingan, polis turut menahan tujuh lelaki warga asing berusia antara 17 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan membabitkan seorang juruteknik di sebuah pangsapuri di Prima Tebrau, Johor Bahru pada 13 Mei lepas.

Hoo berkata tangkapan dibuat dalam tempoh tiga hari lepas (19 Mei) di sekitar kawasan Masai dan Mersing, selain pihak polis turut menemui semula kereta milik mangsa di salah satu lokasi serbuan berkenaan.

"Kesemua suspek kini direman tujuh hari hingga 26 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis mengesahkan terdapat kesan tikaman pada badan mangsa berusia 33 tahun itu. Polis kini sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti motif pembunuhan,” katanya.

Pada 13 Mei lepas, seorang juruteknik berusia 33 tahun ditemukan maut selepas dipercayai ditikam berkali-kali dalam sebuah unit pangsapuri di Prima Tebrau, di sini. Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemui di sisi mangsa. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement