Skip to main content

Malaysia

Jenazah Allahyarham Samir Al Kour selamat dikebumikan di Damsyik

Johan Arief
Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut Johan Arief Mohmad Jaafar hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Samir Al Kour di Masjid Saad ibn Muadh di Damsyik, Syria hari ini.

KUALA LUMPUR: Jenazah Konsul Kehormat Malaysia di Syria, Allahyarham Datuk Samir Al Kour selamat dikebumikan di tanah perkuburan Bir al-Touta di Damsyik, Syria pada jam 2.30 petang (waktu tempatan) hari ini.

Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut Johan Arief Mohmad Jaafar yang hadir di upacara pengebumian turut memaklumkan jenazah Allahyarham dikebumikan selepas solat Jumaat di Masjid Saad ibn Muadh.

Beliau juga berkesempatan menemui anak kepada Allahyarham iaitu Ghayth al-Kour, Hamza al-Kour dan Tarek al-Kour semasa majlis pengebumian yang turut dihadiri warga tempatan.

“Pihak keluarga Allahyarham turut menzahirkan penghargaan tulus atas kehadiran, sokongan dan ucapan takziah daripada Malaysia sepanjang tempoh berkabung ini,” kata Johan ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Semalam, Samir, 73 yang juga ahli perniagaan dilaporkan meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Dar al-Shifa.

Image
Johan Arief
Johan bergambar bersama anak Allahyarham, Hamza (kiri) dan Tarek.  

Beliau yang telah berkhidmat selaku Konsul Kehormat Malaysia di Syria sejak tahun 2000 telah dimasukkan ke hospital akibat strok sejak sepuluh hari lalu.

Selain berperanan dalam urusan diplomatik, Allahyarham juga dikenali sebagai insan yang sering memudah cara Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan ke Syria.

Must Watch Video

Advertisement