Skip to main content

Malaysia

Tukang paip didakwa bunuh ibu tunggal

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret 2 pada pagi Jumaat untuk didakwa di atas pertuduhan membunuh. Foto: Sinar Harian
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret 2 pada pagi Jumaat untuk didakwa di atas pertuduhan membunuh. - Foto Sinar Harian

BUTTERWORTH: Seorang tukang paip dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ibu tunggal dalam kejadian di Taman Seri Murni pada 4 Februari lalu.

Tertuduh, L. Ravinder, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Ravinder didakwa membunuh C. Kanagee, 41, di sebuah rumah di No. G‑21, Lorong Seri Murni 2, Taman Seri Murni, Butterworth, antara jam 9.30 pagi hingga 9.41 pagi pada 4 Februari.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara 30 hingga 40 tahun, serta tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan ia kes bunuh, dan menetapkan 31 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat, laporan kimia dan laporan forensik.

Dalam kejadian pada 4 Februari itu, mangsa, dikenali sebagai Chitra, ditemui maut dalam keadaan terbaring di atas katil di biliknya dengan kesan kelar di leher.

Berikutan penemuan tersebut, polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga tempatan berusia 40 dan 46 tahun, serta seorang lelaki Rohingya berusia 38 tahun, untuk membantu siasatan.

Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor, memaklumkan bahawa tiada kesan pergelutan ditemui pada tubuh mangsa, menunjukkan mangsa kemungkinan diserang oleh individu yang dikenalinya.

Polis juga tidak menolak kemungkinan cemburu sebagai motif pembunuhan.

 

Must Watch Video