Skip to main content

Bisnes

Ekonomi Malaysia berkembang 6.3% pada S4, catat 5.2% seluruh tahun 2025

81741770361_TBbandarayaKualaLu.jpg
Ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025 berbanding 5.4 peratus pada suku ketiga, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mantap. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025 berbanding 5.4 peratus pada suku ketiga, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mantap.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pertumbuhan tersebut disokong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah selari dengan keadaan pasaran pekerja yang positif serta sokongan dasar berkaitan pendapatan.

Menurut Bank Pusat itu, aktiviti pelaburan kekal teguh, dipacu oleh perbelanjaan jentera dan kelengkapan khususnya bagi pusat data, selain pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan awam.

“Dalam sektor luaran, eksport terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, didorong terutamanya oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih teguh,” menurut kenyataan itu.

BNM berkata, dari segi penawaran, pertumbuhan disumbangkan terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan, manakala sektor pertanian mencatatkan prestasi lebih baik susulan pengeluaran minyak sawit yang meningkat berikutan kejadian banjir yang kurang teruk berbanding tahun sebelumnya.

Bagi keseluruhan tahun 2025, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus, melebihi julat unjuran antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus .

Dalam pada itu, inflasi keseluruhan kekal stabil pada kadar 1.3 peratus pada suku keempat 2025, manakala inflasi teras meningkat kepada 2.3 peratus berbanding 2.0 peratus pada suku sebelumnya.

BNM menjelaskan, peningkatan inflasi teras didorong terutamanya oleh kenaikan harga lebih pantas bagi beberapa item teras tertentu serta kesan asas daripada inflasi perkhidmatan komunikasi mudah alih.

Bagaimanapun, tekanan tersebut sebahagian besarnya diimbangi oleh harga lebih rendah bagi barangan ditadbir terpilih, khususnya elektrik yang menurun 10.3 peratus dan petrol yang susut 2.0 peratus.

Bagi tahun 2025 secara keseluruhan, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.4 peratus dan 2.0 peratus.

Sementara itu, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit menambah nilai sebanyak 3.8 peratus berbanding mata wang rakan dagangan utama pada suku keempat 2025, manakala ringgit mengukuh 3.9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) .

Bagi keseluruhan tahun 2025, ringgit menambah nilai 10.2 peratus berbanding dolar AS dan 6.3 peratus dari segi NEER.

BNM berkata, pengukuhan itu disokong oleh faktor luaran termasuk perbezaan kadar faedah yang mengecil susulan pengurangan kadar dasar oleh Rizab Persekutuan AS, selain prospek ekonomi domestik yang positif.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, momentum pertumbuhan dijangka berterusan pada 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri dan eksport yang berdaya tahan.

BNM menjangkakan inflasi keseluruhan akan kekal sederhana pada 2026 berikutan keadaan kos global yang terus reda, manakala inflasi teras dijangka stabil dan hampir kepada purata jangka panjangnya.
 

Must Watch Video