KUALA LUMPUR: Tujuh warga asing yang mendakwa mengalami kerugian lebih RM31 juta akibat diperdaya sindiket penipuan antarabangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.
Peguam yang mewakili kesemua mangsa tersebut, Andy Yeoh berkata, mereka terpedaya dengan tawaran sebuah syarikat yang menjalankan skim pelaburan dalam talian dikenali sebagai 'High Inspirations' dengan menjanjikan kadar pulangan pelaburan sebanyak lima peratus bagi setiap transaksi.
"Anak guam kami telah diperkenalkan kepada platform ini yang dikatakan sebagai platform sah yang mampu menjana pendapatan konsisten.
“Skim pelaburan ini mula beroperasi pada 2018 sebelum kemudahan pengeluaran wang pelabur secara tiba-tiba dihentikan bermula Sept 2021, manakala platform itu ditutup sepenuhnya pada Ogos tahun lepas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua mangsa itu terdiri daripada empat warga China, dua Taiwan dan seorang Korea serta terdapat lebih 300 mangsa lain yang turut berhasrat menuntut kembali wang pelaburan mereka.
Seorang mangsa warga Taiwan, Liu Chun Kuang, 58, berkata mangsa skim penipuan itu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemilik perniagaan kecil dan pekerja yang melabur menggunakan wang simpanan mereka.
"Kami memohon kerajaan Malaysia untuk menyiasat sindiket pelaburan ini dan membantu mendapatkan semula keadilan bagi pihak pelabur," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima tujuh laporan berkaitan kes tersebut, hari ini.
-- BERNAMA