Skip to main content

Dunia

ICC sahkan bidang kuasa dalam kes bekas presiden Filipina Duterte

71742460604_RodrigoDuterte.jpg
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Rabu mengesahkan yang ia mempunyai bidang kuasa ke atas bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte, sekali gus membolehkan kes itu diteruskan dan menolak permohonan pihak pembelaan untuk pembebasan segera tanpa syarat. - Gambar fail

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Rabu mengesahkan yang ia mempunyai bidang kuasa ke atas bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte, sekali gus membolehkan kes itu diteruskan dan menolak permohonan pihak pembelaan untuk pembebasan segera tanpa syarat, lapor Xinhua.

ICC memaklumkan bahawa pada 23 Okt 2025, kamar praperbicaraan mahkamah itu menolak permohonan pihak pembelaan yang mencabar bidang kuasa mahkamah dalam kes berkenaan.

Pada 28 Okt, peguam Duterte memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu dan seterusnya mengemukakan ringkasan rayuan berkaitan bidang kuasa pada 14 Nov.

Pihak pembelaan berhujah yang ICC tidak mempunyai bidang kuasa terhadap dakwaan jenayah yang dilakukan di Filipina atas alasan negara itu bukan lagi Negara Pihak kepada Statut Rom, iaitu perjanjian penubuhan mahkamah itu.

Ia selanjutnya berhujah bahawa membenarkan Mahkamah menjalankan bidang kuasa selama-lamanya selepas penarikan diri sesebuah Negara akan menjejaskan hak kedaulatan Negara tersebut untuk keluar daripada Statut.

Dewan Rayuan ICC bagaimanapun memutuskan yang dakwaan jenayah berlaku ketika Filipina masih menjadi anggota ICC, justeru ia berada dalam bidang kuasa mahkamah.

Mahkamah turut menolak kesemua empat alasan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan, termasuk hujah berkaitan pemakaian undang-undang dan isu prosedur.

“Setelah menolak keseluruhan rayuan, Dewan Rayuan menganggap bahawa permintaan pembelaan untuk pembebasan segera dan tanpa syarat Duterte adalah tidak lagi relevan,” kata hakim Luz del Carmen Ibanez Carranza, hakim yang mempengerusikan Dewan Rayuan. 

Pendakwa raya, pasukan pembelaan Duterte serta wakil perundangan pihak lain turut hadir di mahkamah, manakala Duterte yang berusia lebih 80 tahun tidak hadir.

Duterte berkhidmat sebagai presiden Filipina dari 2016 hingga 2022.

Beliau ditahan dan dipindahkan ke dalam tahanan ICC pada Mac 2025 berdasarkan waran berkaitan kempen antidadahnya yang kontroversi, satu tindakan yang turut dicabarnya.

Penampilan awal beliau di Dewan Praperbicaraan I ICC berlangsung pada 14 Mac 2025, dan pada 28 Nov 2025, mahkamah menolak rayuan untuk pembebasannya atas alasan usia dan tahap kesihatan yang merosot.

-- BERNAMA-XINHUA

 

TAG: Belanda, 

Must Watch Video