Skip to main content

Malaysia

'Trump tiada perancangan di Iran, perang haram ini berasaskan penipuan' - Senator AS

Birds fly as smoke rises following an explosion, after Israel and the U.S. launched strikes on Iran, amid the U.S.-Israel conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 2, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY TPX IMAGES OF THE DAY
AS dan Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran pada Sabtu. - Gambar/ Reuters

WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS) Richard Blumenthal berkata pada Selasa bahawa beliau “lebih bimbang daripada sebelum ini” bahawa pasukan tentera Amerika mungkin dikerah ke Iran.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas taklimat tertutup dengan pegawai kanan pentadbiran Trump mengenai serangan AS-Israel yang semakin meningkat di bawah “Operation Epic Fury”, lapor Anadolu Ajansı (AA).

“Saya lebih bimbang berbanding sebelum ini selepas taklimat bahawa kita mungkin akan mengerahkan pasukan dan tentera dari Amerika Syarikat mungkin diperlukan untuk mencapai objektif yang kelihatan ingin dicapai oleh pentadbiran,” kata Blumenthal kepada pemberita.

Senator Demokrat dari Connecticut itu berkata beliau meninggalkan taklimat sulit itu dengan lebih banyak soalan berbanding jawapan mengenai strategi pentadbiran dan keutamaan jangka panjang dalam konflik yang semakin meluas.

“Saya juga masih tidak jelas mengenai keutamaan pentadbiran pada masa hadapan, sama ada ia untuk memusnahkan kapasiti nuklear Iran, atau sekadar misil, atau perubahan rejim, atau menghentikan aktiviti pengganas,” tambah beliau.

Blumenthal memberi amaran bahawa kekurangan kejelasan mengenai objektif meningkatkan risiko AS terjerumus ke dalam konflik lebih luas.

“Lebih ramai rakyat Amerika akan terkorban”

Senator Elizabeth Warren, seorang Demokrat dari Massachusetts yang turut menghadiri taklimat mengenai Iran, berkata dalam satu mesej video di platform media sosial X bahawa situasi itu “jauh lebih buruk daripada yang anda sangka.”

“Pentadbiran Trump tiada perancangan di Iran. Perang haram ini berasaskan penipuan, dan ia dilancarkan tanpa sebarang ancaman segera terhadap negara kita,” kata Warren, sambil menambah bahawa Presiden Donald Trump “masih belum memberikan sebarang sebab jelas untuk perang ini.”

Senator Chris Murphy, seorang lagi Demokrat, memberi amaran bahawa konflik itu boleh menyebabkan lebih banyak kematian rakyat Amerika.

“Ini adalah situasi yang paling serius. Ini adalah perang dan keamanan,” kata Murphy kepada pemberita. “Mereka memberitahu kami dalam bilik itu bahawa lebih ramai rakyat Amerika akan terkorban.”

Murphy menyeru perbahasan Senat mengenai pengesahan penggunaan kuasa ketenteraan terhadap Iran, dengan berkata ahli legislatif tidak patut meneruskan undang-undang lain sebelum membahaskan apa yang beliau panggil “perang yang tidak popular, tidak bermoral dan haram.”

Ahli Kongres Jason Crow turut mengkritik keputusan pentadbiran melancarkan operasi itu.

“Jelas sekali ini adalah perang pilihan oleh Presiden Donald Trump. Tiada ancaman segera terhadap rakyat Amerika, kemudahan Amerika atau individu,” kata Crow.

Speaker Dewan, Mike Johnson, mengkritik usaha beberapa ahli Kongres untuk memaksa undian mengehadkan kuasa perang presiden.

“Idea bahawa beberapa rakan sekerja di sini akan cuba menggerakkan usul dan resolusi kuasa perang ke dewan sekarang adalah berbahaya,” kata Johnson kepada pemberita.

Ketegangan meningkat di seluruh rantau sejak AS dan Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran pada Sabtu, mengorbankan hampir 800 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei dan pegawai tentera kanan.

Iran membalas dengan serangan dron dan misil yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Serangan bersama itu berlaku ketika rundingan antara AS dan Iran mengenai program nuklear Iran sedang dijalankan di bawah pengantaraan Oman. Pusingan rundingan baharu di Geneva berakhir pada Khamis.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video