LONDON: Seorang lelaki berada dalam keadaan kritikal selepas empat individu cedera dalam insiden tembakan di selatan London pada Sabtu, lapor Sky News pada Ahad, menurut Xinhua.
Kejadian berlaku pada awal pagi Sabtu di Coldharbour Lane di Brixton, apabila tembakan dilaporkan dilepaskan dari sebuah kenderaan. Keempat-empat mangsa berusia 25, 21, 47 dan 70 tahun dikejarkan ke hospital, menurut laporan itu.
Lelaki berusia 25 tahun itu berada dalam keadaan mengancam nyawa, manakala tiga lagi mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa, menurut laporan itu.
Polis memaklumkan mereka sedang menyiasat sama ada satu kejadian tikaman berhampiran kira-kira sejam kemudian mempunyai kaitan dengan insiden tembakan itu. Tiada tangkapan dibuat setakat ini, dan pegawai sedang berusaha mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Polis Metropolitan London memaklumkan kehadiran anggota polis akan dipertingkat di kawasan itu dalam beberapa hari akan datang dan menggesa saksi atau sesiapa yang mempunyai rakaman tampil membantu siasatan.
-- BERNAMA-XINHUA