KUALA LUMPUR: Gangguan perkhidmatan Rapid KL Laluan Ampang/Sri Petaling berlaku pagi ini disebabkan sebuah tren yang tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin.
Rapid Rail mengesahkan insiden itu berlaku akibat kerosakan pada suis landasan sehingga menyebabkan tren terbabit tidak dapat bergerak dan menjejaskan jadual perjalanan Laluan Ampang/Sri Petaling.
"Ketika kejadian, seramai 25 penumpang berada di dalam tren tersebut dan kesemua mereka berjaya dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi standard tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
"Keselamatan penumpang dan petugas menjadi keutamaan ketika ini, manakala pasukan teknikal sedang giat menjalankan siasatan lanjut serta kerja-kerja pemulihan di lokasi kejadian.
"Susulan insiden itu, pelan perkhidmatan alternatif yang diumumkan sebelum ini masih diteruskan bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang," kata Rapid Rail dalam kenyataan hari ini.
Antara langkah yang diaktifkan termasuk tren dari Stesen Sentul Timur berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan empat minit, manakala tren dari Stesen Putra Heights pula berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan kekerapan sama.
Rapid KL turut mengesahkan gambar-gambar insiden yang tular di media sosial adalah sahih.
Ia turut menyediakan tren perantara antara Stesen Cheras dan Bandar Tasik Selatan serta antara Stesen Ampang dan Pandan Jaya.
Selain itu, bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan melibatkan beberapa stesen termasuk Hang Tuah, Chan Sow Lin, Maluri, Pandan Jaya dan Cheras dengan kekerapan sekitar 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik.
Penumpang yang ingin menuju ke pusat bandar disaran menggunakan Putrajaya Line dengan membuat pertukaran tren di Stesen Sungai Besi.
Rapid KL turut menasihatkan penumpang agar mematuhi arahan petugas stesen sepanjang tempoh gangguan dan terus mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE.