ISTANBUL: Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran memaksa sebuah kapal tangki Amerika Syarikat (AS) berpatah balik berhampiran Selat Hormuz selepas kapal itu cuba merentasi laluan perairan strategik berkenaan dengan sistem radarnya ditutup, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Agensi Berita Tasnim pada awal Khamis.
Memetik sumber tentera yang dimaklumkan mengenai perkara itu, Tasnim melaporkan bahawa pasukan tentera laut IRGC bertindak pantas terhadap kapal berkenaan dan melepaskan tembakan amaran ke arahnya, sekali gus memaksanya berundur.
Tasnim mengaitkan insiden itu dengan letupan yang kedengaran lebih awal berhampiran bandar pelabuhan selatan Bandar Abbas, lokasi media Iran melaporkan sistem pertahanan udara telah diaktifkan.
Agensi itu berkata insiden berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Laporan itu dibuat ketika seorang pegawai AS mengesahkan kepada Anadolu bahawa Amerika Syarikat melancarkan satu lagi siri serangan udara di selatan Iran, termasuk menembak jatuh empat dron serangan sehala Iran yang didakwa menimbulkan ancaman berhampiran Selat Hormuz.
“Pasukan AS turut menyerang sebuah stesen kawalan darat Iran di Bandar Abbas yang dipercayai sedang bersiap sedia untuk melancarkan dron kelima,” kata pegawai itu yang enggan dikenali, pada Rabu.
“Tindakan ini bersifat terkawal, semata-mata untuk pertahanan dan bertujuan mengekalkan gencatan senjata,” tambah pegawai itu.
Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari. Tehran kemudian membalas dengan melancarkan serangan menyasarkan Israel serta sekutu AS di Teluk, selain menutup Selat Hormuz. Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan sebelum dilanjutkan tanpa tempoh oleh Presiden AS Donald Trump.
-- BERNAMA-ANADOLU