SEPANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan antara 35,000 hingga 40,000 tangkapan melibatkan penagih di seluruh negara sepanjang tahun ini dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sehingga Mei lalu, jumlah tangkapan telah melepasi 15,000 orang, hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara.
Menurut beliau, tangkapan dibuat berdasarkan dua sumber utama iaitu aduan orang awam serta risikan dijalankan oleh pihak AADK sendiri.
“Pada tahun ini kita ada sasaran tangkapan maksimum antara 35,000 hingga 40,000. Buat masa ini, tangkapan sudah mencecah 15,000 sehingga bulan Mei dan kita menyasarkan boleh capai 40,000 tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Penghayatan Nilai-Nilai Murni Sempena Aidiladha dan Ibadah Korban AADK 2026 di iscore PUSPEN Sepang, hari ini.
Ruslin berkata, antara negeri mencatat jumlah tangkapan tertinggi ketika ini ialah Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Kedah.
Katanya, bagi memperkukuh operasi penguatkuasaan, AADK kini menggunakan teknologi dron lengkap dengan sistem pengesan haba bagi memantau kawasan panas aktiviti dadah termasuk di kawasan ladang kelapa sawit dan kampung.
“Kita ada pasukan dron yang membuat pemantauan di kawasan berlakunya port dadah dan penjualan dadah secara kecil-kecilan termasuk di kawasan kebun kelapa sawit dan kampung.
“Dengan bantuan unit dron ini, kita berjaya buat banyak tangkapan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, teknologi thermal yang digunakan membolehkan aktiviti dikesan walaupun pada waktu malam.
“Dron kita ini mempunyai pengesan thermal heat yang boleh mengesan objek pada waktu malam. Sekiranya ada aktiviti pada waktu malam, kita juga dapat kesan,” katanya lagi.
Menurut Ruslin, majoriti individu ditahan bagi kesalahan di bawah bidang kuasa AADK dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan untuk menjalani pemulihan.
Katanya, AADK kini mempunyai 30 pusat pemulihan di seluruh negara dan menyasarkan kapasiti pusat berkenaan mencapai sehingga 90 peratus tahun ini susulan peningkatan jumlah tangkapan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan hampir 70 peratus individu terlibat dalam kes dadah terdiri daripada golongan belia berusia antara 13 hingga 39 tahun.
“Yang selebihnya adalah mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan majoriti daripada mereka adalah penagih berulang yang pernah ditahan, dipenjarakan atau dirawat sebelum ini,” katanya.