KUALA LUMPUR: Aliran trafik keluar dari Lembah Klang menuju ke utara dan Pantai Timur dilaporkan sesak, namun masih terkawal setakat pagi ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Raya Malaysia (LLM) berkata bagi laluan ke Pantai Timur, kesesakan berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 menuju ke Plaza Tol Gombak serta dari Bukit Tinggi, Lentang ke Stesen Petronas Bentong, dan Sungai Dua ke Plaza Tol Karak.
"Bagi laluan ke utara, kesesakan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan di Slim River ke Tapah, Gopeng ke Simpang Pulai, Ipoh Utara ke Terowong Menora, Bandar Baharu ke Jawi, Bukit Tambun ke Bukit Minyak dan Juru ke Perai," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata bagi laluan ke selatan pula, kesesakan berlaku dari Port Dickson ke Senawang, dan Pasir Gudang ke Setia Tropika.
"Cuaca pagi ini baik dan pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi had laju yang ditetapkan dan sentiasa mengawasi jarak selamat kenderaan masing-masing sepanjang perjalanan," katanya.
Pengguna juga dinasihatkan merancang perjalanan mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan pihak konsesi, selain memastikan mendapat rehat mencukupi sebelum memulakan pemanduan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 atau paparan kamera litar tertutup (CCTV) trafik di laman web rasmi agensi berkenaan.
-- BERNAMA