KUALA LUMPUR: Dakwaan segelintir pemimpin politik dan pihak tertentu bahawa Sultan Selangor mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri dan melanggar konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini adalah tidak benar.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Dewan di-Raja Selangor berkata titah baginda pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 pada 20 April lalu sebaliknya adalah bagi memastikan segala tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya.
Katanya, titah itu juga adalah selari dengan peranan seorang raja dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan
"Di dalam konteks negeri Selangor, Menteri Besar Selangor dikehendaki berunding dengan baginda dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
"Rundingan membawa maksud bahawa baginda mempunyai hak untuk diberi sembah maklum oleh Menteri Besar mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan baginda mengetahui apa yang berlaku disamping memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan," ujar kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pandangan dan nasihat oleh Sultan Selangor adalah berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
"Baginda sering menitikberatkan tindakan yang efektif dan bukan janji-janji kosong dalam menyelesaikan masalah rakyat bersesuaian dengan peranan baginda sebagai ketua negeri," katanya.
Jelas kenyataan sama, baginda kerap menerima aduan daripada rakyat tentang masalah banjir, kutipan sampah, jalan berlubang dan sebagainya.
"Aduan-aduan yang disampaikan kepada baginda oleh pengadu bukan surat layang, kerana pengadu menyertakan nama, alamat dan nombor telefon bagi membuktikan mereka benar-benar terdesak mahukan baginda menegur kerajaan negeri," katanya lagi.
Menurut kenyataan sama, Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai 'rubber stamp' atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi baginda sebagai sultan.
"Baginda bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara.
"Ahli-ahli Dewan di-Raja yakin baginda yang mempunyai pengalaman memerintah selama tempoh 25 tahun sebagai Sultan Selangor dan 33 tahun sebagai Raja Muda Selangor, amat memahami dan mendalami peranan baginda mengikut undang-undang selaras dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan," jelas kenyataan itu.
Dua minggu lalu, media melaporkan baginda menzahirkan dukacita terhadap kegagalan berterusan kerajaan negeri menangani isu banjir yang masih berlarutan walaupun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.
Baginda bertitah, isu banjir bukan perkara baharu malah telah berpuluh kali ditegaskan agar diselesaikan segera, termasuk mencadangkan supaya kerajaan negeri merujuk kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mendapatkan kaedah terbaik.
Bagaimanapun menurut baginda, nasihat tersebut seolah-olah tidak dipedulikan dan diibaratkan seperti 'mencurah air ke daun keladi' apabila masalah itu masih berlaku sehingga kini.