KUALA LUMPUR: Tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang menghina agama khususnya Islam, perlu dilaksanakan secara adil dan seimbang bagi mengelakkan keraguan masyarakat berbilang kaum di negara ini berhubung kaedah pihak berkuasa menangani isu seperti itu.
Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata ini kerana masyarakat sering mempersoalkan tahap ketegasan tindakan terhadap kes penghinaan agama Islam termasuk isu seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang memuat kandungan menghina Islam di media sosial, baru-baru ini.
“Jadi masyarakat tertanya-tanya juga, ‘kenapa kalau orang Islam yang semacam menghina agama lain disuruh minta maaf, disuruh macam-macam tetapi kalau orang bukan Islam tidak sebegitu?’
“Saya tidak kata kerajaan lambat bertindak tetapi maknanya benda ini kena seimbang supaya menghilangkan ragu-ragu dalam kalangan masyarakat bahawa kononnya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam segmen Dakwah Bijak: Membina Rasa Hormat Terhadap al-Quran terbitan Bernama Radio hari ini.
Beliau berkata segala isu penghinaan terhadap al-Quran merupakan perkara serius dalam Islam dan tidak boleh dipandang remeh, selain perlu ditangani secara tegas oleh pihak berkuasa mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Adalah satu dosa besar kalau sekiranya seorang Muslim tidak menghormati al-Quran,umpamanya memperlekeh al-Quran, apatah lagi dari sudut fizikal misalnya memijak ataupun helaian-helaian kitab suci itu dijadikan pembungkus makanan atau seumpamanya.
“Isu penghinaan terhadap al-Quran ini suatu perkara yang amat serius bagi seorang Muslim dan kalau bukan Islam yang melakukannya, tindakan-tindakan yang sesuai mestilah dilakukan untuk menghalang daripada tanggapan mereka bahawa al-Quran ini boleh dipermainkan,” katanya.
Bagaimanapun, Bungsu Aziz menasihatkan umat Islam agar tidak bertindak terburu-buru dalam menyebarkan maklumat berkaitan tindakan penuntut universiti awam itu, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk ditangani mengikut lunas undang-undang.
Beliau turut menggesa umat Islam mengamalkan prinsip tabayyun atau menyelidik kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya, manakala masyarakat beragama lain pula perlu memahami kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan bagi memastikan keharmonian dalam masyarakat majmuk terus terpelihara.
"Kalau datang sesuatu berita maka umat Islam bertabayyun, ertinya periksa dulu dan pastikan ia benar kerana terutama sekarang ini zaman Internet, yang semua orang boleh menyuarakan pandangan di hujung jari, bagaimanapun kita bertanggungjawab terhadap apa yang kita kemukakan.
“Bagi bukan Islam mereka mesti memahami kedudukan Islam di negara kita ini dan mereka kena faham bahawa perkara ini amat sensitif, dan impak daripada perbuatan menghina agama boleh menyebabkan kemungkinan yang tidak mahu kita dengar seperti rusuhan kaum atau pergeseran antara penganut agama,” katanya.
-- BERNAMA