Skip to main content

Malaysia

Tiga sekeluarga beraya di lokap, edar dadah RM1.1 juta

Tiga sekeluarga beraya di lokap, edar dadah RM1.1 juta
Jauteh menunjukkan dadah dan gambar bungkusan dadah yang menggunakan jenama teh cina. -Foto Sinar Harian

KOTA KINABALU: Empat individu termasuk tiga sekeluarga bukan sahaja terpaksa menyambut Aidilfitri di dalam lokap, malah berdepan hukuman mati selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bernilai RM1.1 juta dalam serbuan pada Jumaat lalu.

Empat individu berusia antara 36 hingga 72 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan yang membawa kepada penemuan dadah seberat 23.55 kilogram.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah stor simpanan kenderaan yang membawa kepada penahanan suspek berusia 42 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki dan hasil pemeriksaan menemukan tiga bungkusan plastik berlabel teh Cina yang mengandungi dadah seberat 3.071 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM153,000.

"Hasil soal siasat terhadap suspek kemudiannya membawa kepada tangkapan tiga lagi individu di sebuah rumah di Kampung Jawa, Tawau, yang mana sebanyak 20.48 kilogram dadah bernilai RM1.04 juta ditemui, turut dibungkus menggunakan bungkusan teh Cina," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Rabu.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata, siasatan mendapati semua bahan terlarang itu dibawa masuk dari Kuala Lumpur ke Tawau menggunakan pengangkutan yang sah.

"Kita percaya tangkapan ini adalah sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah, namun ia melibatkan sindiket berbeza berbanding satu lagi kes tangkapan di Kota Kinabalu pada Rabu lalu.

"Kesemua suspek termasuk tiga sekeluarga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berperanan sebagai penerima barang daripada ‘transporter’ sebelum diedarkan kepada individu lain dengan bayaran komisen," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata semua suspek kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan," katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video