Skip to main content

Malaysia

Tiga lelaki curi tabung Masjid Seksyen 7 dipenjara 6 bulan, denda RM4,000

Empat lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa berhubung kes curi tabung Masjid Kristal Seksyen 7, dua minggu lalu. Foto Sinar Harian, ROSLI TALIB
Empat lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa berhubung kes curi tabung Masjid Kristal Seksyen 7, dua minggu lalu. -Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Empat lelaki termasuk seorang remaja 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Selasa atas satu pertuduhan mencuri tabung masjid minggu lalu.

Tiga daripadanya dihukum penjara selama enam bulan dan denda RM4,000 selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mereka ialah pekerja pusat cuci kereta, K Tineshuaran, 26; kelindan lori, R Nishanraj, 22; dan operator kilang, R Danesh, 27.

Mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan bermula Selasa dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, mereka boleh dipenjara selama tiga bulan.

Mengikut pertuduhan, tiga tertuduh yang masih bujang didakwa bersama-sama mencuri tabung ‘stainless steel’ milik Masjid Seksyen 7 di sini bernilai RM2,000 pada jam 4 pagi 22 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, semua tertuduh diwakili peguam, Swinder Singh dan Ashrul Haikal sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar.

Sementara seorang lagi tertuduh, memandangkan dia merupakan remaja bawah umur, mahkamah menetapkan 28 April depan untuk serahan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum menjatuhkan hukuman.

Semasa prosiding yang dibuat secara tertutup, Muhammad Syafiq membenarkan remaja itu diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menegaskan tiada unsur provokasi dalam kes curi tabung di sebuah masjid di sini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mencuri kerana terdesak dan memerlukan wang.

Sabtu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan dan ucapan syabas kepada pasukan polis negeri kerana bertindak pantas dalam berkesan sehingga berjaya menahan pelaku kejadian tersebut. -Sinar Harian

Must Watch Video