WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membidas Perdana Menteri Britain Keir Starmer kerana enggan menyokong perang Washington terhadap Iran.
Trump meluahkan rasa kecewa, menyifatkan langkah UK itu sebagai sesuatu yang tidak dijangka antara dua sekutu rapat, selain memberi amaran bahawa 'hubungan istimewa' di antara kedua-dua negara kini berdepan ketegangan.
“Beliau tidak membantu langsung... saya tidak pernah menyangka akan melihat perkara ini berlaku. Saya tidak pernah menyangka akan melihat tindakan sebegitu daripada United Kingdom (UK),” kata Trump dalam satu kenyataan yang mengkritik kepimpinan Starmer.
Presiden AS itu turut membayangkan bahawa ikatan di antara Washington dan London kini telah berubah secara drastik berbanding pentadbiran terdahulu, menyifatkan situasi semasa sebagai sesuatu yang tidak pernah dijangkakan sebelum ini.
Kekecewaan Trump terhadap Starmer yang memilih untuk tidak menyertai kempen ketenteraan itu sekali gus menandakan peralihan ketara dalam kerjasama pertahanan yang telah lama terjalin di antara kedua-dua sekutu kuat itu.
“Ia sebenarnya sebuah dunia yang berbeza. Ia merupakan jenis hubungan yang jauh berbeza daripada apa yang pernah kita miliki dengan negara anda sebelum ini,” ujar Trump merujuk kepada status hubungan diplomatik AS-UK.
Trump turut melahirkan rasa hairan bagaimana perikatan yang disifatkannya sebagai 'paling utuh di dunia' itu kini berada di bawah tekanan yang amat hebat disebabkan perbezaan pendirian mengenai konflik di Asia Barat.
Meskipun menyatakan kekecewaan, Trump membayangkan bahawa Washington tidak lagi bergantung kepada Britain untuk melaksanakan operasi ketenteraannya di rantau tersebut, namun tetap menegaskan bahawa Starmer sepatutnya memberikan sokongan.
“Ia tidak akan bawa perbezaan (kepada operasi AS), tetapi beliau (Starmer) sepatutnya membantu,” katanya.
Kenyataan Presiden AS itu hadir ketika pentadbiran beliau bertegas bahawa operasi terhadap Iran akan diteruskan sehingga semua objektif dicapai, dengan unjuran tempoh konflik sekitar empat hingga lima minggu bergantung perkembangan di lapangan.