Skip to main content

Malaysia

Sektor hartanah negara catat transaksi bernilai RM240 bilion pada 2025 - Nga

61704678743_TBhartanahjpg.jpg
Transaksi tinggi itu membuktikan yang sektor hartanah negara bukan sahaja pulih malah kini menjadi enjin kepada pertumbuhan ekonomi negara. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Sektor hartanah negara mencatatkan jumlah transaksi memberangsangkan bernilai RM240 bilion pada 2025, yang tertinggi dalam tempoh lebih sedekad, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata nilai transaksi tinggi itu membuktikan yang sektor hartanah negara bukan sahaja pulih malah kini menjadi enjin kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 “Saya sifatkan (sektor ini) sebagai tiang seri ekonomi negara kerana sektor hartanah pembangunannya berkaitan dengan 200 industri.

“(Industri tersebut) sama ada (dalam) sektor pembuatan, kontraktor, perbankan ataupun perniagaan. Semua ini saling berkaitan dan (jumlah transaksi) RM240 bilion itu adalah satu jumlah yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Ihya Ramadan - Islah MADANI: Memurni Jiwa Membangun Ummah bersama-sama warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Nga berkata,  KPKT menerusi Jabatan Perumahan Negara akan terus memainkan peranan proaktif  untuk memastikan sektor hartanah negara terus berkembang.

“Kita harap langkah-langkah reformasi Perumahan Negara yang sedang kita rancang untuk laksanakan sekarang ini akan berjalan dengan lancar.

“Saya jangkakan tahun ini akan menjadi satu lagi tahun yang memberangsangkan sekiranya semua pihak bekerjasama dengan baik,” katanya.

Mengenai konflik di Timur Tengah, Nga berkata pihaknya kini berwaspada dan akan meneliti tindakan susulan bagi mengelak sektor perumahan dan pembinaan negara terjejas.

“Yang penting, kita kena pastikan supaya dari segi kos pengangkutan tidak menjejaskan sektor perumahan dan juga pembinaan negara,” katanya.

Sementara itu, Nga berkata beliau hari ini telah memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai cadangan penubuhan sebuah agensi tunggal perumahan. 

“Kita susun balik supaya akan ada agensi tunggal bagi perumahan nasional supaya semua perkara kelulusan atau pertindihan birokrasi dapat dikurangkan dan proses pentadbiran serta kelulusan boleh dipercepatkan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video