LUNDU: Polis Daerah Lundu menahan tiga lelaki dan sedang memburu seorang lagi rakan mereka bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja berusia 18 tahun di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Sudirman Kram berkata, lelaki yang masih bebas itu dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut dan melarikan diri selepas menghantar mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
Menurut beliau, sekitar jam 7.12 pagi, polis Sarawak menerima maklumat daripada seorang pegawai perubatan HUS mengenai seorang lelaki yang dibawa ke unit kecemasan hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia. Pemeriksaan lanjut menemui kecederaan bengkak pada bahagian mata dan pipi, serta kesan darah kering pada bahagian hidung,” katanya.
Siasatan awal mendapati mangsa dan beberapa rakan sekerja menghadiri satu perjumpaan sosial sebelum kejadian dan telah mengambil minuman keras.
“Berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa, yang merupakan rakan sekerja dan tinggal serumah di sebuah rumah sewa. Pertikaian itu kemudian bertukar menjadi pergaduhan fizikal,” jelasnya.
Mangsa dilaporkan pengsan sebelum suspek membawanya ke HUS menggunakan sebuah pacuan empat roda untuk mendapatkan rawatan.
Polis turut merampas beberapa telefon bimbit dan kenderaan pacuan empat roda terbabit sebagai bahan siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.