Skip to main content

Malaysia

Tidak celik politik punca anak muda tidak mengundi - Najib

41444006676_NajibTunRazak.jpg
Sikap tidak celik politik menyebabkan ramai anak muda Melayu di negara ini tidak berdaftar sebagai pengundi, malah ada yang tidak mahu mengundi walaupun sudah berdaftar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dengan keadaan politik yang semakin mencabar, pentingnya fahaman politik dalam kalangan golongan muda untuk mengekalkan survival Melayu.

"Mengambil tahu soal politik ada kewajipan kita bersama kerana perkiraan politik ini jugalah telah mengekalkan survival Melayu hingga ke hari ini.

"Jika kita ingin mengekalkan survival Melayu malah mempertahankan ketuanan Melayu, penyertaan dalam politik akan mencelikkan mata kita tentang ancaman dan menjadi penentu kelangsungan kuasa orang Melayu," kata Najib dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada persidangan agong tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kali ke-61.

Najib, pada masa sama, melahirkan kebimbangan terhadap anak muda melayu yang terpedaya dengan taktik politik sempit pihak tertentu.

"Saya amat memahami anak muda penuh dengan idealisme dan mempunyai semangat yang berkobar-kobar. Namun saya melahirkan kebimbangan apabila terdapat anak muda Melayu terpedaya dengan cara politik yang sempit dan emosional tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada orang-orang Melayu di negara ini.

"Sikap pihak tertentu menghasut anak muda melayu membenci kerajaan mempunyai agenda politik tersembunyi dan tersirat," katanya.

Najib dalam pada itu, mengulangi pendirian bahawa kerajaan akan terus komited memperkasa agenda Melayu tanpa mengetepikan kepentingan kaum lain di negara ini.

Must Watch Video