SEPANG: Gara-gara tidak mempunyai wang untuk membeli tiket pulang ke negara asal, seorang wanita warga China bertindak agresif dengan menceroboh kawasan keselamatan di Pintu Pelepasan Antarabangsa C, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.35 petang apabila suspek dipercayai melalui pintu pemeriksaan keselamatan tanpa memiliki sebarang tiket penerbangan.
"Wanita terbabit kemudian bertindak agresif ketika diperiksa petugas keselamatan di pintu pelepasan antarabangsa berkenaan.
"Bertindak atas maklumat diterima, suspek berjaya ditangkap polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA kira-kira jam 1.45 petang pada hari sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek merupakan warga China yang masuk ke negara ini pada 30 April lalu untuk bercuti bersama rakannya.
"Bagaimanapun, wanita terbabit dipercayai tidak mempunyai wang untuk membeli tiket penerbangan pulang ke negara asal.
"Suspek telah dibawa ke Mahkamah Sepang pada Ahad dan dibenarkan tahanan reman bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam khususnya di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA," katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang wanita bertindak agresif di Pintu Pelepasan Antarabangsa C, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). -Sinar Harian