KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyerahkan sumbangan 75 ekor lembu untuk diagihkan ke seluruh kawasan Parlimen itu sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Sumbangan tersebut melibatkan kerjasama strategik pelbagai pihak untuk agihan kepada masjid dan surau terpilih serta komuniti setempat termasuk Masjid Saidina Othman Ibn Affan.
Dr Wan Azizah berkata ibadah korban yang dilaksanakan setiap tahun bukan sekadar simbolik penyembelihan haiwan, sebaliknya manifestasi ketaatan, semangat pengorbanan serta keprihatinan terhadap masyarakat sekeliling.
“Selari dengan konsep 'Malaysia MADANI’, program sumbangan ini merupakan usaha Pejabat Parlimen menyemarakkan lagi syiar Islam, sekali gus membantu meringankan beban golongan yang memerlukan seperti asnaf dan fakir miskin,” katanya.
Beliau yang juga isteri Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Program Penyerahan Lembu Korban Aidiladha di sini hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud.
Dr Wan Azizah turut berharap proses pengagihan daging korban itu dapat dilaksanakan secara telus dan teratur supaya ia sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
“Semoga usaha kecil ini bukan sahaja dapat menggembirakan hati penerima tetapi juga menjadi asbab untuk kita mengeratkan lagi silaturahim, memupuk perpaduan dan hidup dalam suasana yang harmoni di kariah ini," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan masjid dan surau, jawatankuasa pelaksana serta penyumbang korporat yang membantu menjayakan program berkenaan.
-- BERNAMA