Skip to main content

Malaysia

Tiada petunjuk baharu, operasi SAR penyelam ditamatkan

Sumber: BERNAMA
Operasi SAR Tam Peng Hoong, 66, ditamatkan selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan. - Gambar/ Maritim Malaysia

DUNGUN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) penyelam warga emas yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tenggol di sini sejak 20 Mac, ditamatkan petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata operasi SAR Tam Peng Hoong, 66, ditamatkan selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan.

Beliau berkata operasi melibatkan aset laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dua syarikat pengusaha pusat selaman.

“Keputusan menamatkan operasi dibuat selepas mengambil kira tempoh pencarian yang telah dilaksanakan dan hasil perbincangan bersama-sama semua agensi terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tam dilaporkan hilang selepas melakukan selaman skuba di perairan Pulau Tenggol pada 4.30 petang, Jumaat.

Mangsa yang melakukan aktiviti itu dengan seorang anaknya dilaporkan tidak timbul setelah lima minit melakukan selaman.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video