KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memberi peringatan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya memperketat pemantauan projek pembangunan berhampiran kolam takungan air di ibu negara.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata peringatan itu diberikan sejak 2023 setelah didapati tiada elemen rasuah dikenal pasti dalam siasatan ke atas kelulusan projek pembangunan berhampiran kolam takungan air itu.
Beliau berkata sekiranya berlaku sebarang pelanggaran syarat atau pembangunan yang menjejaskan fungsi kolam takungan air, perkara itu berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan serta memberi penjelasan.
"Ini memandangkan aspek pemantauan, kawal selia dan kelulusan pembangunan adalah di bawah bidang kuasa DBKL bagi memastikan semua syarat dan spesifikasi ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak kontraktor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, SPRM telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan proses kelulusan beberapa projek pembangunan yang dikatakan menjejaskan fungsi kolam takungan air di sekitar Kuala Lumpur.
Mohd Hafaz berkata pada 2022, SPRM telah membuka kertas siasatan susulan aduan melibatkan beberapa pegawai DBKL dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPSKL) bagi tempoh antara 2015 hingga 2021.
"Antara dakwaan yang disiasat termasuk penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara termasuk di Taman Wahyu bagi tujuan pembangunan.
"SPRM telah menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan dokumen dan keterangan yang diperoleh sebelum kertas siasatan dilengkapkan pada 2023 dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), namun diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada unsur rasuah dikenal pasti," katanya.
-- BERNAMA